Tuesday 26 June 2012

MEDIA PENGAJARAN


MEDIA
Media dalam bidang pendidikan telah dihubungkan terus dengan benda-benda, alat-alat, perkakas dan bahan-bahan pendidikan dan pengajaran.
Menurut R.M.W Travers (1970), "istilah media biasanya digunakan untuk mewakili satu edaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Oleh itu kita menyebut tentang media televisyen atau media filem bergerak. Mungkin media pendidikan mewakili sesuatu yang lebih sedikit dari golongan bahan-bahan mendidik."
Menurut B.J Enright (1972) pula, "media ialah ikhtiar-ikhtiar untuk memperolehi, memproses atau menyusun kembali maklumat pandang dan dengar atau gabungan maklumat pandang dan dengar dengan cara grafik, fotografik, elekronik ataupun cara mekanik".
Jadi fungsi media ialah untuk memperolehi, memproses atau menyusun kembali maklumat pandang dan dengar ataupun gabungan dua jenis maklumat ini. Yusuf Hashim (1997) menyatakan bahawa "media pengajaran yang biasa digunakan dalam pengajaran dan latihan terbahagi kepada lapan iaitu:
 
·  Media tayang kaku (transparensi, slaid, mikrofilem dll)
·  Media tayang gerak (video, filem, cakera dll)
·  Grafik (lukisan, poster, kartun dll)
·  Gambar kaku (gambar foto, kad imbasan, poskad dll)
·  Media pameran (model, boneka, diorama dll)
·  Media paparan (papan kapur, papan flanel, papan berita dll)
·  Media audio (tutur, pita audio, cakera padat dll)
·  Media cetak (modul pengajaran, buku teks, akhbar, majalah dll)
FUNGSI MEDIA
Membuat Pengajaran Lebih Tersusun
Mengikut pendekatan sistem, media adalah satu komponen dalam pembentukan pengajaran. Untuk memuatkan media dalam pengajaran, pengajaran guru perlu dirancangkan dengan sistematik terlebih dahulu supaya pengajaran lebih tersusun. Berdasarkan pendekatan sistem juga peranan media dikaji, dilaksanakan, dinilai dan kemudian dibaiki mengikut keperluan penuntut dan objektif pembelajaran.
 
Memberi maklumat
Berbagai media yang didapati,dari segi pembelajaran memang memberi maklumat seperti TV pendidikan dan radio, filem, slaid dan sebagainya.
 
Pembelajaran Menjadi Lebih Dekat
Sesuatu perkara yang perlu dipelajari tetapi berlaku di luar bilik darjah boleh dirakamkan melalui gambar foto, video atau ditulis ceritanya di dalam buku dan kemudian dibawa ke bilik darjah. Perkara-perkara di luar bilik darjah menjadi lebih hampir kepada murid kerana perkara-perkara tersebut boleh dipindahkan di dalam media dan dibawa masuk ke kelas.
 
Memperkayakan pengalaman
Media seperti filem boleh memperkayakan pengalaman murid. Jika murid di negara ini tidak pernah melihat salji, satu filem yang ditayangkan menunjukkan salji serta persekitarannya akan menambah pengalaman murid, seolah-olah murid sendiri mengalami persekitaran seperti itu.
 
Pembelajaran Lebih Seronok
Pembelajaran berlaku apabila terdapat perubahan tingkahlaku. Dengan melihat filem, televisyen dan media lain pelajar akan terangsang untuk belajar. Ini akan menerbitkan rasa seronak kepada pelajar kerana persekitaran bilik darjah adalah steril. Oleh kerana seronok melihat atau mendengar media pengajaran tersebut, perubahan tingkahlaku murid akan lebih mudah terhasil dan seterusnya pembelajaran berlaku.
 
Pengajaran Lebih Bersifat Individu
Jika pengajaran guru dirancang dengan teratur dan rapi, guru tidak perlu berhadapan dengan semua murid pada setiap masa. Guru boleh menggunakan berbagai media untuk menyusun pengajaran dan semua murid tidak perlu menguasai pembelajaran mengikut satu cara sahaja. Pengajaran boleh dijalankan secara individu mengikut kebolehan dan kecepatan pelajar sendiri untuk menyelesaikan sesuatu unit pembelajaran. Murid tidak perlu menanti guru untuk belajar kerana isi pelajaran telah disusun oleh guru mengikut tahap kebolehan murid.

No comments:

Post a Comment